Kira-kira 40 nelayan di Serkam Pantai di sini kini berhadapan dengan masalah sukar untuk ke laut disebabkan wujud semula beting (campuran lumpur dan pasir) setelah kerja-kerja mendalamkan Sungai Serkam dilakukan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Melaka tidak lama dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazale Muhamad berkata, pihak berkenaan sebelum ini telah membelanjakan kira-kira RM135,000 bertujuan untuk mendalamkan muara sungai tersebut.
Katanya, selepas lawatan bersama beberapa pegawai agensi terlibat ke kawasan terbabit, pihaknya mendapati beting tersebut kembali semula disebabkan berlakunya hakisan di kawasan itu.
“Hakisan itu berlaku lanjutan dari kerja-kerja penambahbaikan yang kini sedang giat dijalankan di tebing sungai terbabit.
“Dengan wujudnya beting ini, ia telah mencetekkan muara tersebut dan menyukarkan para nelayan di jeti berhampiran untuk ke laut khususnya apabila air surut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke muara sungai itu di sini.
Hadir sama pada lawatan itu, Pengurus Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka, Abdol Mutalib Che Man; Penolong Pegawai Daerah, Muhd Ikram Ibrahim; Juruteknik Kanan JPS, Md Zin; Penghulu DUN, Zakaria Abu Bakar dan Pegawai Kanan Tanah Pejabat Daerah, Abd Rahman Ali.
Justeru, pihaknya memohon kepada JPS supaya dapat mengkaji semula kewujudan beting tersebut dan mengambil tindakan segera agar keadaan ini tidak menyukarkan nelayan untuk ke laut.
“Kita menyarankan agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi membantu para nelayan di jeti ini membolehkan mereka keluar ke laut dengan tidak menghadapi sebarang permasalahan,” katanya.