Wednesday, January 21, 2009

E-KWM Pertama Diperkenalkan Kejayaan Sekumpulan Guru-Guru SMK Seri Mahkota Membanggakan

UMBAI- Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Jasin Yusof Ahmad, menyifatkan sistem e-KWM yang dibina oleh sekumpulan guru ICT Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota itu merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Katanya, ciptaan ini sebagai inovasi dan kreatif yang telah dibina oleh guru-guru dan kakitangan sekolah ini secara bekerjasama berpasukan menghasilkan satu sistem dinamakan e-KWM yang pertama diperkenalkan oleh sekolah ini di negeri Melaka.

"Pihak PPD Jasin yakin kesungguhan kumpulan guru ICT membina sistem ini merupakan daya usaha dan semangat tinggi dengan harapan penerapan ICT di kalangan warga sekolah ini menjadi contoh kepada lain-lain sekolah di daerah Jasin," katanya kepada MHI semasa melakukan lawatan rasmi di sini semalam.

Katanya, usaha murni Cikgu Nor Azizah bersama-sama rakannya wajar diberi penghargaan kerana pengalaman mereka dalam bidang ICT diterjemahkan, sekaligus memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah ini.

Nor Azizah menyatakan, antara lain tujuan membina e-KWM ini ialah mewujudkan budaya ICT di kalangan warga SMK Seri Mahkota, termasuk peka kepada informasi teknologi terkini, meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran dan pembelajaran dan menyampaikan maklumat kepada warga sekolah ini berdasarkan sistem kiosk.

"Melalui sistem ini, guru kelas dapat mengesan kehadiran pelajar ke sekolah pada setiap hari dengan cepat dan tepat bagi mengelak cara konvensional iaitu lewat mengesan pelajar sering ponteng sekolah,"katanya.

Katanya, untuk memudahkan pelajar, guru-guru dan kakitangan perlu hadir ke sekolah dan pihaknya menyediakan dua unit kiosk iaitu di pintu masuk ke sekolah dan di bangunan berhampiran Bilik Radio Mahkota untuk melakukan imbasan kad smart masing-masing secarat kemas dan teratur.

Menurutnya, pihak sekolah bersetuju untuk menambah lagi pusat atau kiosk di beberapa lokasi umpamanya berhampiran Makmal Siber Mahkota dan Taman Penganjaran dan Pembelajaran (P&P) sekolah ini.

Beliau memberitahu, sistem ini dibina melalui sistem rangkaian setempat supaya membolehkan warga sekolah ini mendapat maklumat. Proses ini dapat mengatasi kelemahan sedia ada seperti lambat dan menyukarkan guru mengesan atau mendapat maklumat terkini.

"Wujudnya sistem ini akan memudahkan guru bertugas mingguan membuat analisa jumlah pelajar yang tidak hadir setiap hari dan mingguan," katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru, kakaitangan sekolah dan pelajar sendiri boleh mendapat maklumat kehadiran mereka, sekaligus merekodkan sebagai dokumen rasmi yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Tambahnya lagi, walaupun sistem ini baru beroperasi, namun ianya banyak memberi kesan positif terutama peratus pelajar ponteng sekolah dapat diatasi, sekaligus rekod kehadiran dapat dikesan melalui sistem e-KWM.

Beliau berkata, e-KWM ini dibuka bermula pukul 6 pagi dan ditutup pukul 8.30 pagi kecuali Rabu dibuka hingga petang kerana pada hari tersebut diadakan kegiatan ko-kurikulum.

"Kami berpuas hati kerana idea ini sebagai mengorak langkah kehadapan supaya seluruh warga sekolah ini celik ICT dan menyoronokkan," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhamad Amirul Yusman berkata, sistem e-KWM ini amat menarik kerana boleh dapat maklumat kehadiran sekolah sepanjang mingguan dan sistem ini membantu mempertingkatkan pengetahuan dalam ICT.

Seorang lagi pelajar, Ainul Adibah Saleh melahirkan rasa bangga kerana sekolah ini berjaya membina sistem ICT begitu canggih dan mendekatkan para pelajar dalam bidang siber yang kini semakin maju.

"Oleh itu, kita seharusnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ICT, jika kita bijak menggunakannya, maka kita akan menjadi pelajar pintar pada masa kan datang," katanya.