Thursday, January 29, 2009

Mangsa kebakaran terima bantuan


Nasib malang yang menimpa seorang ibu tunggal setelah rumahnya musnah dalam kebakaran di Batu 19, Jalan Chinchin di sini kelmarin mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebannya sekeluarga.

Kebakaran yang memusnahkan harta benda keluarga Noraini Husin, 47, itu menyebabkan ibu tunggal terbabit hilang tempat perlindungan dan terpaksa menumpang hidup di rumah saudaranya di kampung itu.

Hari ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi bantuan keperluan harian seperti beras, minyak dan gula bagi meringankan beban hidup Noraini dan keluarganya.

Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak Japerun Dewan Undangan negeri (DUN) Serkam turut menghulurkan bantuan harian dan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Muhamad, pihaknya akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya buat Noraini termasuk menyediakan kelengkapan sekolah untuk dua orang anaknya berusia 11 dan 18 tahun.

''Kita akan bantu menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada mangsa termasuk memastikan setiap kelengkapan sekolah yang diperlukan oleh dua anak Noraini diperolehi segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa kebakaran terbabit di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang kelmarin, rumah yang didiami Noraini bersama dua orang anaknya musnah dalam kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dipercayai oleh masalah litar pintas.

Selain itu, kata Ghazale, bantuan rumah kos rendah akan diberikan kepada mangsa melalui kerjasama agensi kerajaan terbabit.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam berkata, sekiranya ibu tunggal itu mahu menyewa salah sebuah rumah awam yang terdapat di kawasan berhampiran, MAIM sedia menyalurkan bantuan wang sewa.

''Selain memberi bantuan wang sewa, kita juga bercadang untuk menyediakan peralatan memasak, katil dan tilam kepada keluarga Noraini," katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Noraini, Muammar Alwali, 11, bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang dalam akademik seperti mana yang diharapkan oleh ibunya.