Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sentiasa melipatgandakan usaha untuk menarik lebih ramai masyarakat Orang Asli yang tidak beragama di negeri ini untuk memeluk Islam.
Timbalan Pengerusinya, Ghazale Muhamad berkata, setakat ini, terdapat lebih 1,200 masyarakat Orang Asli di seluruh negeri namun hanya sebahagian kecil daripada jumlah itu yang sudah memeluk agama Islam.
Menurutnya, MAIM memerlukan kerjasama masyarakat Islam sendiri untuk membantu agensi itu menarik minat Orang Asli untuk menganuti Islam, seterusnya membantu golongan itu meningkatkan taraf kehidupan mereka pada masa depan.
''Saya merasakan masyarakat Orang Asli sebenarnya berminat untuk beragama namun disebabkan terdapat segelintir masyarakat Islam yang tidak menunjukkan sikap yang baik, ini telah mempengaruhi Orang Asli itu sendiri untuk lebih gemar tidak beragama.
''Sebagai orang Islam, kita harus menunjukkan sikap yang baik agar golongan masyarakat tidak beragama ini akan lebih tertarik mengikut ajaran Islam," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyempurnakan majlis memeluk Islam oleh tiga beradik Orang Asli Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, Ghazale telah mengajar Siti Norhayati Maun, 13, Mohd. Nazri, 10 dan Erma Fatima, 7, melafazkan kalimah syahadah sambil ditemani ibu mereka, Rokiah Bujang, 41, Siti Norermawati, 21, beserta Tok Batin, Sampat.
Selepas selesai majlis itu, tiga kanak-kanak berkenaan diberikan hadiah sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baru sebanyak RM500 setiap seorang.
Selain itu, menurut Ghazale, sikap segelintir orang Islam tidak mematuhi ajaran Islam seperti tidak solat, tidak berpuasa dan minum arak sering menjadi persoalan yang ditimbulkan oleh masyarakat Orang Asli dalam kempen jelajah MAIM ke kampung mereka sebelum ini.
''Ada di kalangan Orang Asli ini bertanyakan tentang sikap buruk orang Islam ini dan kita terpaksa beberapa kali menjelaskan kepada mereka bahawa tidak semua masyarakat Islam bersikap buruk seperti ini," katanya.
Katanya, persoalan yang dikemukakan oleh Orang Asli terbabit secara tidak langsung menjejaskan usaha MAIM untuk menarik minat golongan itu memeluk Islam.
''Mereka (Orang Asli) memandang kita dengan satu pandangan yang keliru dan tidak yakin dengan agama ini kerana sikap buruk segelintir orang Islam yang pada hari ini masih tidak mengikuti ajaran agama yang sewajarnya," kata beliau.
Katanya, keluarga Orang Asli terbabit akan diberi kursus kelas untuk memantap fardu ain termasuklah praktikal solat, berwuduk, bersuci dan kelas Iqra.
Katanya, keluarga Rokiah antara lima keluarga Orang Asli yang memeluk Islam di kampung berkenaan daripada keseluruhan 105 penduduk Orang Asli yang terdapat di situ.