Tuesday, March 17, 2009

MAIM pastikan bakal jemaah haji patuhi peraturan


Kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) terutama dalam menyediakan kemudahan kursus haji kepada bakal jemaah sebelum mengerjakan ibadah tersebut di tanah suci.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamad berkata, ia penting bagi memastikan bakal jemaah haji telah dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan panduan yang sewajarnya sebelum ke Mekah.

Menurutnya, antara peranan utama yang dimainkan oleh kerajaan negeri adalah menyediakan guru pembimbing kursus haji yang bertauliah dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

‘‘Seperti tahun sebelumnya, elaun guru pembimbing kursus haji ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, ia bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan urusan ibadah jemaah berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kursus Haji Bersiri peringkat negeri di sini kelmarin

Kursus haji sebanyak 17 siri itu telah bermula sejak awal bulan ini dan dijangka berakhir pada 21 Jun ini.

Selain itu, menurut Ghazale, kursus haji itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada bakal haji dan mereka yang berhasrat untuk mengerjakan umrah.

‘‘Modul yang disediakan untuk ibadat haji dan umrah teratur serta lengkap mengikut apa yang disediakan oleh Tabung Haji,” katanya.

Katanya, kursus tersebut mensasarkan beberapa objektif termasuk melahirkan bakal jemaah yang mempunyai pengetahuan mantap dan dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari selepas menunaikan ibadat itu.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan bakal jemaah agar mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Katanya, sebarang kesulitan dan masalah boleh dielakkan sekiranya semua jemaah mematuhi garis panduan dan aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.