Friday, May 8, 2009

ADUN bantu ringankan beban 4 beradik

Kesedihan kehilangan ibu untuk selama-lamanya oleh empat beradik malang dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini, dikongsi bersama oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad,

Beliau yang juga Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri berkunjung ke rumah anak yatim piatu itu dengan membawa sumbangan dan memberi jaminan masa depan anak-anak malang terbabit akan mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.

Menurutnya, keluarga berkenaan sebelum ini ada menerima bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak beberapa tahun lalu.

''Saya juga telah meminta pegawai MAIM untuk meneliti bentuk bantuan yang sesuai disalurkan kepada mereka memandangkan bantuan yang diperolehi sebelum ini adalah terletak di bawah nama arwah ibu mereka," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, Roranitah Bujang, 17 dan Mohd Aidil Bujang, 14, akan diberi bantuan persekolahan di bawah program Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi menampung persekolahan mereka sehingga tamat pengajian.

Katanya, anak kedua keluarga itu, Noorafeda, 18, yang sedang melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur pula akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan pembelajaran daripada agensi sama.

Ujarnya, MAIM akan meneruskan pemberian bantuan barangan makanan kepada keluarga berkenaan menerusi anak sulung, Noor Azilah, 21.

''Sebelum ini, bantuan makanan ini diserahkan atas nama ibu mereka, Allahyarham Rosita Zainal namun ia ditukar kepada nama Noor Azilah.

''Kita amat bersimpati atas nasib yang menimpa keluarga itu dan dengan sumbangan berkenaan diharap akan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung mereka,'' katanya.

Beliau turut meminta simpati dan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya badan korporat di negeri ini agar mengambil inisiatif membantu meringankan penderitaan hidup yang dialami oleh empat beradik malang terbabit.

Hari Ibu tinggal kenangan


Tanggal 10 Mei setiap tahun sentiasa dinantinanti oleh empat beradik dari Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini untuk meraikan insan tersayang buat mereka yang bergelar ibu.

Seperti anak-anak yang lain, empat beradik ini yang tidak berbapa, sudah sibuk merencanakan rancangan untuk meraikan Hari Ibu buat ibu tersayang, Rosita Zainal, 45, sempena hari istimewa itu.

Namun, pada Ahad lalu, impian itu musnah untuk selama-lamanya apabila ibu tersayang terlibat dalam kemalangan dipercayai dilanggar oleh kenderaan sewaktu menunggu bas untuk ke tempat kerja di Melaka Sentral kira-kira pukul 7 pagi.

''Kami adik-beradik sudah merancang untuk membawa ibu bersiar-siar di pusat bandar dan menonton wayang filem Hindustan kerana ibu amat meminati filem itu.

''Malah, salah seorang adik yang masih belajar di Kuala Lumpur sudah berpesan untuk balik pada Hari Ibu untuk bersama-sama meraikan ibu namun nampaknya cita-cita kami tidak kesampaian," kata anak sulung empat beradik itu, Noorazila Bujang, 21, ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Noorazila yang bekerja di Batu Berendam di sini, berkata, mereka kini sudah menjadi anak yatim piatu memandangkan bapanya telah lebih awal meninggalkan mereka kira-kira lapan tahun lalu.

Menurutnya, sebelum tragedi malang menimpa ibunya, kelakuan ibunya agak pelik kerana menyatakan hasrat untuk meminjam pakaiannya.

''Malam sebelum kejadian, arwah ibu menyatakan keinginan untuk memakai pakaian saya, walaupun berasa pelik dengan hasratnya, saya tetap mengizinkan arwah untuk memakai pakaian saya," katanya.

Katanya, dia kini perlu menjaga dua daripada tiga adiknya yang lain iaitu Roranitah Bujang, 17, dan Mohd. Aidil Bujang, 14, kerana masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seri Bemban.

''Kami empat adik beradik kini lebih tabah untuk meneruskan kehidupan ini walaupun kami tiada lagi ibu dan ayah.

''Sambutan Hari Ibu yang lalu bersama ibu kini tinggal hanya kenangan paling manis buat kami empat beradik," katanya.

Seorang lagi adik Noorazila, Noorafeda Bujang, 18, sedang menjalani kursus dandanan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Ketika ini, empat beradik berkenaan tinggal bersama nenek mereka, Rahmah Kassim di kampung berkenaan.

Pada kejadian Ahad lalu, Rosita dikatakan sedang menunggu bas di hadapan rumahnya apabila mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah kereta dipandu seorang remaja berusia 21 tahun

Monday, May 4, 2009

Mangsa Kebakaran Dapat Perhatian Segera

Sebuah keluarga yang menjadi mangsa bencana alam akibat kebakaran di Kampung Tedong dekat sini mendapat perhatian kerajaan negeri hari ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Akbar Ali berkata, keluarga Jaafar Mohd Noh 49, mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila rumahnya hangus dijilat api pada jam 4.00 petang kelmarin.

Akbar yang juga Yang Di Pertua Pertubuhan Kesejahteraan Ummah (PKU) berkata, sumbangan berbentuk pakaian terpakai, pakaian baru serta keperluan lain disampaikan kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban mangsa.

"Saya difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazale Othman dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah telahpun melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta merta sebaik mereka ditimpa bencana ini," katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis penyampaian sumbangan pakaian di Tedong.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abu Bakar Abdol, Pembantu JKM Kawasan Tedong, Omar Othman, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tedong, Abdul Mutalib Husin.

Akbar berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga telah meluluskan segera rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada keluarga berkenaan.

Tambahnya, bantuan TAPEM pula akan menyusul bagi membantu meringankan beban anak mangsa untuk ke sekolah.

Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan peruntukkan untuk membantu meringankan beban mangsa.

"Kelulusan serta merta Ketua Menteri membuktikan rakyat didahulukan dan kelulusan segera agensi -agensi kerajaan bukti pencapaian diutamakan," katanya lagi.

Tambahnya, apa yang dilaksanakan itu selaras dengan konsep 1 Malaysia sekaligus memperkukuhkan iltizam beliau membantu rakyat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui berkata, TAPEM akan memberikan dua pasang baju kepada dua orang anaknya yang masih bersekolah rendah manakala biasiswa RM600 setahun kepada seorang anaknya di sekolah menengah.

Katanya, bagi seorang anaknya lagi yang belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan difikirkan bentuk bantuan yang sesuai bagi meringankan beban mereka.

Sementara itu, Jaafar ketika ditemui melahirkan rasa terharu dengan kepimpinan kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan nasib rakyat.

Menurutnya, pemberian rumah PPRT daripada kerajaan khususnya daripada Ketua Menteri merupakan satu penghargaan paling bermakna mereka sekeluarga.

"Terima kasih kepada pihak-pihak terbabit yang menyampaikan bantuan segera kepada kami," katanya lagi.