Tuesday, March 17, 2009

JPS Melaka Tengah perlu bertindak


Isu jambatan usang yang menimbulkan kebimbangan seorang warga emas di Kampung Umbai di sini akan dibincangkan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Serkam, Ghazale Mohamad berkata, pihaknya sudah pun ke lokasi berkenaan dan mengesahkan memang jambatan yang dimaksudkan terlalu uzur dan perlu diperbaiki.

Namun bagaimanapun, menurutnya, jambatan berkenaan adalah dalam bidang kuasa JPS Daerah Melaka Tengah dan pihaknya sudah pun memaklumkan dan mengutus surat untuk tindakan segera pihak terbabit.

"Sebaik sahaja perkara ini dilaporkan Sinar Harian tiga hari lalu, Setiausaha Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ramlan Mohd Ali bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Tembakau, Mohd Emran Ahmad meninjau jambatan itu.

"Setelah disiasat, ia di bawah selenggaraan JPS Melaka Tengah dan terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Telok Mas," katanya yang dihubungi semalam.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mengenai kesulitan Jariah Embi, 69, yang berhadapan risiko keselamatan akibat jambatan uzur yang menghubungkan rumah kediamannya dengan dunia luar.

Jambatan sepanjang kira-kira 12 meter itu, didakwa merbahaya kerana sebahagian besar strukturnya yang diperbuat daripada kayu sudah reput dimakan usia.

Malah warga emas terbabit juga mendakwa pernah mengalami kecederaan di kaki apabila terperosok setelah terpijak lantai yang reput.

Justeru, wanita berkenaan merayu kepada pihak berkenaan supaya menggantinya kepada jambatan baru.

Kampung Pulai terima 200 pelawat

Kira-kira 200 pelawat dari seluruh negeri telah berkunjung ke Kampung Pulai dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai, Seman Deros berkata, antara pelawat yang pernah datang ke kampung itu adalah mahasiswa dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan yang terbaru Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Taman Bunga Melor, Klang, Selangor.

“Mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) dan yang terbaru dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah datang ke kampung ini mengadakan program homestay di sini selama dua hari,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Pemuda UMNO dari cawangan Taman Bunga Melor pula datang menginap di kampung berkenaan bertujuan mengadakan program amal dengan kerjasama Pemuda cawangan Kampung Pulai.

“Mereka telah mengatur beberapa program amal seperti menyampaikan hamper kepada warga kurang berkemampuan, gotong-royong membersihkan tanah wakaf serta melibatkan diri dalam ceramah agama bersempena sambutan Maulidur Rasul,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Seman, kampung berkenaan turut dikunjungi kumpulan mahasiswa dari semesta keempat Fakulti Kejururawatan UiTM.

“Ketika ke mari, mereka telah memberi rawatan kepada keluarga angkat dan lebih 50 penduduk di kampung ini hadir untuk diperiksa,” katanya.

MAIM pastikan bakal jemaah haji patuhi peraturan


Kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) terutama dalam menyediakan kemudahan kursus haji kepada bakal jemaah sebelum mengerjakan ibadah tersebut di tanah suci.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamad berkata, ia penting bagi memastikan bakal jemaah haji telah dilengkapi dengan pelbagai maklumat dan panduan yang sewajarnya sebelum ke Mekah.

Menurutnya, antara peranan utama yang dimainkan oleh kerajaan negeri adalah menyediakan guru pembimbing kursus haji yang bertauliah dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

‘‘Seperti tahun sebelumnya, elaun guru pembimbing kursus haji ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, ia bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan urusan ibadah jemaah berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kursus Haji Bersiri peringkat negeri di sini kelmarin

Kursus haji sebanyak 17 siri itu telah bermula sejak awal bulan ini dan dijangka berakhir pada 21 Jun ini.

Selain itu, menurut Ghazale, kursus haji itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada bakal haji dan mereka yang berhasrat untuk mengerjakan umrah.

‘‘Modul yang disediakan untuk ibadat haji dan umrah teratur serta lengkap mengikut apa yang disediakan oleh Tabung Haji,” katanya.

Katanya, kursus tersebut mensasarkan beberapa objektif termasuk melahirkan bakal jemaah yang mempunyai pengetahuan mantap dan dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari selepas menunaikan ibadat itu.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan bakal jemaah agar mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di kedua-dua negara bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Katanya, sebarang kesulitan dan masalah boleh dielakkan sekiranya semua jemaah mematuhi garis panduan dan aspek keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sunday, March 1, 2009

Mohd Farid Berazam Jadi 'Saudagar Keli'

Perkahwinannya dengan seorang anak penternak ikan keli akhirnya menjadi pendorong kepada Mohd Farid Abd. Malek, 34 menceburi bidang ternakan ikan keli berjaya meskipun sebelum ini dia tidak pernah menjamah ikan darat berkenaan.

Mohd Farid dari Kampung Umbai, memberitahu sebaik melangsungkan perkahwinan dengan Noraini Abdullah, dia mencuba merasai ikan yang diternak bapa mertuanya dan tidak menyangka rasanya sungguh enak.

"Dari situlah saya mula minat terhadap ikan keli dan mempelajarinya daripada bapa mertua," katanya pemuda berasal dari Muar, Johor itu yang kini cuba merancang untuk berhenti kerja menumpukan sepenuhnya bidang berkenaan.

Mohd Farid berkata, setelah melakukannya secara kecil-kecil kini sudah sampai masanya dia mengorak langkah lebih jauh dalam penternakan keli dengan meninjau peluang yang diyakini terbuka luas.

"Saya bekerja di sebuah syarikat swasta setelah tamat belajar di Institut Kemahiran Mara (IKM) dalam bidang Fabrikasi Logam dan tidak sangka bidang penternakkan menambat hati saya.

"Semangat yang berkobar-kobar untuk memajukan diri dalam bidang ini setelah mengikuti kursus selama lima hari empat malam dalam bidang penternakan dan pembenihan ikan keli anjuran AgroBank pada Mac tahun lalu.

"Sebelum itu, saya langsung tidak tahu dan melakukan penternakan sekadar ikut-ikut apa yang bapa mertua buat sebelum ini," katanya.

Menurutnya, empat bulan setelah itu, dia membuat pendaftaran syarikat yang dinamakan Kliemas Enterprise yang menumpukan selain bidang penternakan ikan keli malah kursus-kursus penternakan ikan berkenaan.

"Setakat ini terdapat lebih 10,000 ekor ikan keli yang saya ternak dalam beberapa kolam simen di perkarangan rumah saya di sini.

Setakatnya, menurutnya, hasil yang dipasarkan di kawasan persekitaran termasuk di beberapa buah restoran nyata tidak mencukupi.

"Untuk itu saya juga merancang untuk membesarkan lagi bidang ini dengan melakukan penambahan kolam simen, politank dan kanvas.

"Keistimewaan ternakan saya ialah diberikan makanan yang baik berasaskan hampas kacang soya, minyak dan sisa ikan yang diproses. Selain itu, kita turut menggunakan dedak padi, barli dan gandum sebagai sumber kabohidrat," katanya.

Menurut Mohd Farid, bagi memastikan ikan dan kolam lebih bersih dia menggunakan sejenis bahan berasaskan bakteria iaitu 'effective micro organisme' (EM) bagi merawat air kolam.

"Ikan yang menggunakan bahan makanan berkenaan lebih kaya dengan Omega 3 dan mengikut kajian ianya lebih baik daripada ikan salmon.

"Biasanya ikan yang diternak dengan makanan jenis ini harganya lebih mahal sedikit daripada penternakan menggunakan perut ayam dan ayam mati.

Katanya, pasaran borong ikan keli sekarang sekitar RM3.50 hingga RM4.00 dan dijual pada harga kira-kira RM6 sekilogram.

Dia berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar apabila syarikat miliknya dilantik Koperasi Usahawan Keli Muar Berhad (KUKMB) sebagai agen bagi memberi bimbingan kepada bakal-bakal usahawan ikan keli.

"Kini kami membantu KUKMB untuk melahirkan kira-kira 400 penternak ikan keli seluruh negara bagi menjayakan industri produk makanan berasas ikan itu yang bakal dipasarkan seluruh negara," katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, sudah lebih 200 penternak mendapat sentuhan daripada pihaknya sehingga mendatangkan pulangan hasil yang lumayan.

KUKMB juga katanya berhasrat mahu mengwujudkan satu rangkaian pengusaha keli di bawah bimbingannya dan sebagai langkah persediaan perlu menyediakan bahan mentah mencukupi selaras dengan permintaan.

"Kita berhasrat mahu menghasilkan pelbagai jenis produk makanan berasaskan ikan keli seperti bebola ikan, ikan beku dan serunding ikan. Semuanya dijangka bakal mendapat pasaran yang tinggi.

Jabatan Perikanan sendiri katanya, menggalakkan masyarakat negara ini memakan ikan darat sebagai sumber protein alternatif menjelang tahun 2010 nanti.

"Bagi yang berminat sebenarnya modalnya amat fleksibel. Jika modal kecil kita boleh lakukan secara kecil-kecilan namun jika besar, besarlah kolam kita.

"Kerajaan sendiri menerusi Jabatan Perikanan mengeluarkan insentif untuk setiap kilogram yang diternakkan dan kini ia menawarkan sebanyak 57 sen setiap kilogram yang dipasarkan bagi ikan keli," katanya.