Thursday, January 29, 2009

Tiga Tahun Terlantar selepas Jatuh

Seoang Warga emas,Minah Wahab 85, kini hanya terlantar di rumah anaknya di solok kampung Batak, Kampung Tedong disini akibat jatuh di dalam tandas sejak tiga tahun lalu.

Minah kini terpaksa berbaring sahaja tidak mampu berdiri dan duduk, malah langsung tidak boleh lagi bergerak kemana-mana dan kini tinggal bersama keluarga anaknya di sini.

Menantu Minah, Baharom Katul, 71 berkata, akibat kejadian yang menimpa ibu mertuanya itu, dia kini tidak boleh berbuat apa-apa , malah semua pekara seperti makan dan minum serta menyalin pakaian dilakukan dengan cara berbaring sahaja.

Penderitaan yang dialami Minah itu telah di ketahui isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Rubiah Edris dan terus menziarahinya di rumah semasa melakukan lawatan kerja di kawasan itu semalam.

Hadir sama dalam lawatan itu, Setiausaha Japerun, Ramlan Mohd Ali serta Ketua UMNO Cawangan Tedong, Abd rahim Hasan dan Ketua Wanita Cawangan Tedong, Habsah Ahmad.

Dalam lawatan tersebut Rubiah turut menyumbang bekalan makanan asas daripada Kompleks Japerun serkam kepada Zabedah.

Kesengsaraan Minah juga turut mendapat bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)Daerah sebayak RM300 sebulan sejak awal tahun lalu.

Disamping itu, Rubiah juga sempat meluangkan masa melawat seorang lagi penduduk kampung yang menghidap penyakit angin ahmar.

Sakdiah Kudrat, 54 mula mendapat penyakit itu sejak lebih enam tahun lalu kini terpaksa menggunakan bantuan tangkat berikutan dirinya kini tidak lagi kuat berjalan.

Malah, penderitaan Sakdiah juga mendapat bantuan JKM mulai bulan ini, di mana dia bakal mendapat bantuan kira-kira RM 230 sebulan bagi membantu membiayai kos perbelanjaan ubat-ubatannya serta barangan keperluannya yang lain

Mangsa kebakaran terima bantuan


Nasib malang yang menimpa seorang ibu tunggal setelah rumahnya musnah dalam kebakaran di Batu 19, Jalan Chinchin di sini kelmarin mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebannya sekeluarga.

Kebakaran yang memusnahkan harta benda keluarga Noraini Husin, 47, itu menyebabkan ibu tunggal terbabit hilang tempat perlindungan dan terpaksa menumpang hidup di rumah saudaranya di kampung itu.

Hari ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memberi bantuan keperluan harian seperti beras, minyak dan gula bagi meringankan beban hidup Noraini dan keluarganya.

Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak Japerun Dewan Undangan negeri (DUN) Serkam turut menghulurkan bantuan harian dan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi MAIM, Ghazale Muhamad, pihaknya akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya buat Noraini termasuk menyediakan kelengkapan sekolah untuk dua orang anaknya berusia 11 dan 18 tahun.

''Kita akan bantu menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada mangsa termasuk memastikan setiap kelengkapan sekolah yang diperlukan oleh dua anak Noraini diperolehi segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada mangsa kebakaran terbabit di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang kelmarin, rumah yang didiami Noraini bersama dua orang anaknya musnah dalam kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dipercayai oleh masalah litar pintas.

Selain itu, kata Ghazale, bantuan rumah kos rendah akan diberikan kepada mangsa melalui kerjasama agensi kerajaan terbabit.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam berkata, sekiranya ibu tunggal itu mahu menyewa salah sebuah rumah awam yang terdapat di kawasan berhampiran, MAIM sedia menyalurkan bantuan wang sewa.

''Selain memberi bantuan wang sewa, kita juga bercadang untuk menyediakan peralatan memasak, katil dan tilam kepada keluarga Noraini," katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Noraini, Muammar Alwali, 11, bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan cemerlang dalam akademik seperti mana yang diharapkan oleh ibunya.

Wednesday, January 21, 2009

E-KWM Pertama Diperkenalkan Kejayaan Sekumpulan Guru-Guru SMK Seri Mahkota Membanggakan

UMBAI- Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Jasin Yusof Ahmad, menyifatkan sistem e-KWM yang dibina oleh sekumpulan guru ICT Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota itu merupakan satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

Katanya, ciptaan ini sebagai inovasi dan kreatif yang telah dibina oleh guru-guru dan kakitangan sekolah ini secara bekerjasama berpasukan menghasilkan satu sistem dinamakan e-KWM yang pertama diperkenalkan oleh sekolah ini di negeri Melaka.

"Pihak PPD Jasin yakin kesungguhan kumpulan guru ICT membina sistem ini merupakan daya usaha dan semangat tinggi dengan harapan penerapan ICT di kalangan warga sekolah ini menjadi contoh kepada lain-lain sekolah di daerah Jasin," katanya kepada MHI semasa melakukan lawatan rasmi di sini semalam.

Katanya, usaha murni Cikgu Nor Azizah bersama-sama rakannya wajar diberi penghargaan kerana pengalaman mereka dalam bidang ICT diterjemahkan, sekaligus memberi manfaat kepada seluruh warga sekolah ini.

Nor Azizah menyatakan, antara lain tujuan membina e-KWM ini ialah mewujudkan budaya ICT di kalangan warga SMK Seri Mahkota, termasuk peka kepada informasi teknologi terkini, meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran dan pembelajaran dan menyampaikan maklumat kepada warga sekolah ini berdasarkan sistem kiosk.

"Melalui sistem ini, guru kelas dapat mengesan kehadiran pelajar ke sekolah pada setiap hari dengan cepat dan tepat bagi mengelak cara konvensional iaitu lewat mengesan pelajar sering ponteng sekolah,"katanya.

Katanya, untuk memudahkan pelajar, guru-guru dan kakitangan perlu hadir ke sekolah dan pihaknya menyediakan dua unit kiosk iaitu di pintu masuk ke sekolah dan di bangunan berhampiran Bilik Radio Mahkota untuk melakukan imbasan kad smart masing-masing secarat kemas dan teratur.

Menurutnya, pihak sekolah bersetuju untuk menambah lagi pusat atau kiosk di beberapa lokasi umpamanya berhampiran Makmal Siber Mahkota dan Taman Penganjaran dan Pembelajaran (P&P) sekolah ini.

Beliau memberitahu, sistem ini dibina melalui sistem rangkaian setempat supaya membolehkan warga sekolah ini mendapat maklumat. Proses ini dapat mengatasi kelemahan sedia ada seperti lambat dan menyukarkan guru mengesan atau mendapat maklumat terkini.

"Wujudnya sistem ini akan memudahkan guru bertugas mingguan membuat analisa jumlah pelajar yang tidak hadir setiap hari dan mingguan," katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru, kakaitangan sekolah dan pelajar sendiri boleh mendapat maklumat kehadiran mereka, sekaligus merekodkan sebagai dokumen rasmi yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Tambahnya lagi, walaupun sistem ini baru beroperasi, namun ianya banyak memberi kesan positif terutama peratus pelajar ponteng sekolah dapat diatasi, sekaligus rekod kehadiran dapat dikesan melalui sistem e-KWM.

Beliau berkata, e-KWM ini dibuka bermula pukul 6 pagi dan ditutup pukul 8.30 pagi kecuali Rabu dibuka hingga petang kerana pada hari tersebut diadakan kegiatan ko-kurikulum.

"Kami berpuas hati kerana idea ini sebagai mengorak langkah kehadapan supaya seluruh warga sekolah ini celik ICT dan menyoronokkan," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhamad Amirul Yusman berkata, sistem e-KWM ini amat menarik kerana boleh dapat maklumat kehadiran sekolah sepanjang mingguan dan sistem ini membantu mempertingkatkan pengetahuan dalam ICT.

Seorang lagi pelajar, Ainul Adibah Saleh melahirkan rasa bangga kerana sekolah ini berjaya membina sistem ICT begitu canggih dan mendekatkan para pelajar dalam bidang siber yang kini semakin maju.

"Oleh itu, kita seharusnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ICT, jika kita bijak menggunakannya, maka kita akan menjadi pelajar pintar pada masa kan datang," katanya.

Sunday, January 4, 2009

Pihak JPS Diminta Kaji Semula Nelayan Serkam Pantai Hadapi Masalah Kewujudan Beting

Kira-kira 40 nelayan di Serkam Pantai di sini kini berhadapan dengan masalah sukar untuk ke laut disebabkan wujud semula beting (campuran lumpur dan pasir) setelah kerja-kerja mendalamkan Sungai Serkam dilakukan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Melaka tidak lama dahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Serkam, Ghazale Muhamad berkata, pihak berkenaan sebelum ini telah membelanjakan kira-kira RM135,000 bertujuan untuk mendalamkan muara sungai tersebut.

Katanya, selepas lawatan bersama beberapa pegawai agensi terlibat ke kawasan terbabit, pihaknya mendapati beting tersebut kembali semula disebabkan berlakunya hakisan di kawasan itu.

“Hakisan itu berlaku lanjutan dari kerja-kerja penambahbaikan yang kini sedang giat dijalankan di tebing sungai terbabit.

“Dengan wujudnya beting ini, ia telah mencetekkan muara tersebut dan menyukarkan para nelayan di jeti berhampiran untuk ke laut khususnya apabila air surut,” katanya selepas mengadakan lawatan ke muara sungai itu di sini.

Hadir sama pada lawatan itu, Pengurus Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka, Abdol Mutalib Che Man; Penolong Pegawai Daerah, Muhd Ikram Ibrahim; Juruteknik Kanan JPS, Md Zin; Penghulu DUN, Zakaria Abu Bakar dan Pegawai Kanan Tanah Pejabat Daerah, Abd Rahman Ali.

Justeru, pihaknya memohon kepada JPS supaya dapat mengkaji semula kewujudan beting tersebut dan mengambil tindakan segera agar keadaan ini tidak menyukarkan nelayan untuk ke laut.

“Kita menyarankan agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi membantu para nelayan di jeti ini membolehkan mereka keluar ke laut dengan tidak menghadapi sebarang permasalahan,” katanya.

Thursday, January 1, 2009

Nasib berubah lepas nahas

Seorang wanita, Fatimah Mohamad, 49, yang patah kaki kirinya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, kira-kira dua tahun lalu memerlukan tongkat bagi membolehkannya bergerak dengan sempurna tanpa perlu membebankan suami dan ahli keluarganya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, ketika ini, suaminya, Khamis Ab Hamid, 56, bersama beberapa anaknya kadang-kala terpaksa memapahnya untuk ke bilik air atau bersiar di luar rumah kerana tongkat sedia ada sudah uzur.

“Keadaan itu menyebabkan beberapa ahli keluarga risau untuk membiarkan saya bersendirian di rumah kerana khuatir sekiranya saya terjatuh disebabkan keadaan tongkat yang uzur itu.

“Saya ada mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan tongkat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Muhamad,” katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Taman Datuk Abdul Aziz Kampung Pulai, Serkam di sini, semalam. Menemani dia Khamis yang bekerja sebagai sebagai pemandu lori.

Menceritakan detik malang dirinya ditimpa kemalangan, Fatimah berkata, kejadian berlaku jam 6.30 pagi ketika dia bermotosikal dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah hotel di bandar Melaka sebelum dirempuh bas kilang di Persimpangan Jalan Serkam Pantai di Solok Minyak.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan kaki kirinya patah kepada tujuh bahagian sekali gus mengalami kecacatan kekal dan terpaksa bertongkat.

“Saya reda dengan keadaan ini dan berharap ada pihak yang sudi membantu menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ghazale yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), berkata beliau bersama Badan Sukarelawan At-Taqwa Maim akan berkunjung ke rumah wanita berkenaan, hari ini untuk menyampaikan bantuan tongkat .

Katanya, pihaknya prihatin dengan masalah dihadapi wanita terbabit, apatah lagi kemalangan yang menimpanya menyebabkan kaki kirinya patah dan tidak mampu berjalan.

“Badan Sukarelawan At-Taqwa Maim bersama Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam akan bersama-sama menghulurkan bantuan itu serta menjalankan pemeriksaan kesihatan menerusi Unit Amal badan itu,” katanya.