Monday, November 24, 2008

Kedamaian pikat sekeluarga Orang Asli peluk Islam


Kedamaian jiwa yang ditemui dalam agama Islam telah membuka hati sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Lubok Bandung, Simpang Bekoh di sini untuk memeluk agama itu.

Rokiah Bujang, 41 tahun, seorang ibu tunggal bersama empat anaknya, Siti Norermawati Maun, 21, Norhayati, 13, Mohd. Nazri, 10 dan Erma Fatima, 7, memberitahu, keinginan mereka itu bukan dipaksa atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, kata mereka, ketenangan jiwa dalam agama itu sendiri telah berjaya membuka pintu hati mereka sekeluarga untuk memeluk Islam dan tindakan tersebut dibuat atas kerelaan hati masing-masing.

Bagi Rokiah, pintu hatinya terbuka untuk memeluk Islam sejak dua tahun lalu selepas sekian lama menjalani kehidupan tanpa agama.

''Sebelum itu, saya tidak pernah terfikir untuk mengikuti mana-mana agama dan secara tiba-tiba apabila menyebut Islam, pintu hati saya terbuka luas untuk menerimanya.

''Serentak dengan itu, saya bertekad untuk mempelajari agama Islam ini bersama anak sulung, Siti Norermawati.

''Ketika itu, anak-anak saya yang lain masih kecil dan saya tidak pula terfikir untuk membawa mereka bersama-sama memeluk Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun, hasrat wanita itu akhirnya tercapai apabila tiga lagi anaknya hari ini telah memeluk Islam di hadapan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Muhamad di rumah keluarga Orang Asli terbabit.

Pada majlis itu, anak-anaknya iaitu Norhayati, Mohd. Nazri dan Erma Fatima sambil ditemani Rokiah dan kakak sulung mereka telah diajar oleh Ghazale untuk melafazkan kalimah syahadah.

Hadir sama ialah Tok Batin, Sampat di kampung berkenaan

Selepas selesai majlis itu, tiga kanak-kanak berkenaan diberikan hadiah berupa sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baru sebanyak RM500 setiap seorang.

Menurut Rokiah, sejak bergelar muslimah, hidupnya semakin tenang dan teratur biarpun mengakui banyak kelemahan dirinya yang perlu diatasi.

''Saya juga tidak memaksa anak-anak untuk memeluk Islam, malah mereka sendiri bertanyakan kepada saya bila mereka boleh menganuti Islam.

''Selepas itu, barulah saya berjumpa dengan pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk bertanyakan tentang perkara ini dan tidak lama kemudian, akhirnya harapan saya ini tercapai juga," katanya.

Katanya, anak sulungnya, Siti Norermawati juga baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama seorang pemuda Melayu dari kampung berhampiran pada Ogos lalu.

''Saya juga baru mengkhatankan anak lelaki ketiga saya, Mohd. Nazri, kelmarin, selepas dia menyatakan telah bersedia untuk memeluk Islam tanpa ada paksaan daripada saya atau pihak lain," katanya.

Selain itu, menurut Mohd. Nazri, Islam bukan satu agama yang asing baginya memandangkan sebahagian rakan sekolahnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Chabau di sini adalah di kalangan murid beragama Islam.

Kata Rokiah, keluarganya merupakan antara lima keluarga Orang Asli yang memeluk Islam di kampung berkenaan daripada keseluruhan 105 penduduk Orang Asli yang terdapat di situ.

Sunday, November 23, 2008

JAIM sedia terima idea perbaiki khidmat

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa bersedia menerima idea dan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Ghazalee Mohamad berkata, kerjasama itu penting untuk bertukar fikiran dan pengalaman bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“JAKIM adalah pusat yang diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan isu atau masalah di antara negeri supaya tidak wujud percanggahan antara satu sama lain.

“Masalah yang wujud perlu diselesaikan dengan cara baik supaya kesatuan dalam Islam dapat ditonjolkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia Kali Keenam di Hotel Bayview, di sini, kelmarin.

Mesyuarat yang dihadiri 40 Ketua Pegawai Penguatkuasa dan Ketua Pendakwa Syarie itu, diadakan selama tiga hari, bertujuan membincangkan isu dan masalah berbangkit dengan penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang syariah.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz; Pengarah JAIM, Datuk Alias Mat Saad; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-undang JAKIM, Abdul Latif Ibrahim dan Pengarah Bahagian Undang-undang JAKIM, Meor Hashimi Abdul Hamid.

Menurut Mohd Ali, walaupun bidang kuasa agama terletak di bawah kuasa negeri-negeri, namun kerjasama dalam penyelarasan perlu diteruskan.

“Sebenarnya banyak isu yang telah diselaraskan, bukan sahaja dalam bidang penguatkuasaan dan pendakwaan, malah dalam bidang lain. Maka ia patut diteruskan dan diterima pakai di setiap negeri,” katanya.

Menurutnya, pegawai yang dilantik sebagai penguatkuasa agama perlu bangga kerana dapat menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar.

“Tugas yang dijalankan bukan sahaja mendapat ganjaran pahala di dunia, tetapi juga di akhirat.

“Oleh itu, pegawai harus mematuhi undang-undang agar tidak dipertikaikan pihak tertentu kerana masyarakat sekarang sering mencari kelemahan untuk menjatuhkan umat Islam,” katanya.

Peserta paling muda khatan

Mohd Hakim Hafiz Muhamad Hafiz Chu yang baru berusia tiga tahun menarik perhatian ramai apabila menjadi peserta termuda di kalangan 60 kanak-kanak yang menyertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Saudara Muslim di Dataran Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Peringgit, dekat sini, pagi semalam.

Ketika ditanya sama ada takut atau sakit, Mohd Hakim Hafiz yang ditemani bapa, Muhamad Hafiz Chu Abdullah, 47, dan ibunya, Noor Azura Che Ghazali, 28, hanya menggelengkan kepala.

Menurut Muhamad Hafiz, dia dan isterinya mengkhatankan anak mereka pada usia muda kerana berpendapat ia lebih baik dan mudah untuk kanak-kanak itu.

“Saya rasa lebih mudah mengkhatankan anak-anak ketika mereka masih kecil. Alhamdulillah, semuanya selamat.

“Dia (Mohd Hakim Hafiz) hanya merengek kecil saja dan selepas disuntik bius, dia kelihatan tenang dan boleh menahan sakit,” katanya yang menetap di Taman Malim, dekat sini.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam negeri (Jaim) dan Majlis Agama Islam negeri (Maim) bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Semua 60 kanak-kanak termasuk 33 anak saudara muslim diarak dari bawah khemah sebelum disiram oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Ghazale Mohamad, Pengarah Jaim, Datuk Alias Md Saad dan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli negeri (JHEOAN).

Selain menerima imbuhan sagu hati berupa wang RM20 setiap seorang kanak-kanak terbabit turut diberikan sehelai kain pelekat.

Sementara itu, pekerja kilang, Mohd Ridzuan Thinagaran Abdullah, 37, berterima kasih kepada Majlis Agam Islam Melaka (MAIM) kerana menganjurkan majlis itu secara percuma.

“Program ini meringankan beban golongan berpendapatan sederhana dan miskin,” katanya yang mengkhatankan tiga anak lelaki berusia lima hingga sembilan tahun iaitu Izan Izuddin, Izul Ikram dan Izat Irfan.

63 anak saudara baru berkhatan

Seramai 63 kanak-kanak terdiri daripada anak saudara baru dari seluruh negeri diraikan dalam majlis program berkhatan beramai-ramai di Masjid Al-Azim di sini semalam.

Program yang diadakan pada setiap dua tahun sekali itu bermula tahun 2006, dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena musim cuti persekolahan ketika ini.

Kesemua kanak-kanak yang terlibat dalam majlis itu berusia antara enam hingga 12 tahun.

Menurut Pengerusi MAIM, Ghazale Mohamad, program tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan persaudaraan dan perpaduan di kalangan saudara baru dengan masyarakat Islam seperti yang dituntut oleh agama.

''Pada tahun sebelumnya, seramai 50 kanak-kanak di kalangan saudara baru telah menyertai program ini dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada segi bilangan penyertaan mereka.

''Penganjuran program ini juga untuk membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa memandangkan kos berkhatan yang kini agak mahal sehingga mencecah RM150 seorang," katanya di sini semalam.

Menurut Ghazale, penganjuran program itu juga bagi memenuhi tuntutan agama Islam yang mahukan setiap penganutnya memiliki kualiti kesihatan yang terbaik di kalangan masyarakat.

''Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan fahaman Islam terhadap saudara baru terutama kepentingan berkhatan seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri,'' katanya.

Monday, November 17, 2008

Pesta Nazam semarakkan aktiviti kokurikulum

Inisiatif mengadakan pelbagai pertandingan seperti nazam selaras dengan hasrat menggiatkan pelaksanaan program aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah rendah agama Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Abdul Wahit Kidam berkata, usaha ini dapat memberi impak lebih besar bagi penyemarakkan kegiatan kokurikulum sebagai sebahagian daripada program pendidikan di sekolah.

“Melalui penglibatan dalam pelbagai aktiviti, murid dapat memimpin diri sendiri dan mencapai apa jua yang diingi:ni,” katanya.

:Beliau berkata demikian pada Majlis Pesta Pertandingan Nazam Sekolah Rendah (SR) Agama Peringkat Negeri di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, baru-baru ini.

:Sebanyak 15 sekolah menyertai pertandingan tersebut dan tempat pertama dimenangi peserta SR Agama Telok Berembang.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazale Mohamed dan Penolong Pengarah Akademik JAIM, Md Lasa Yahya.

:Wahit berkata, pengetahuan dan kemahiran memimpin dan mengurus boleh diperoleh melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara formal dan latihan yang terancang.

:“Matlamat kita mengadakan program seperti ini untuk membantu guru dan murid merancang, mengurus dan melaksanakan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan insan yang berwibawa dan berkeyakinan tinggi,” katanya.

:Menurutnya program itu diharap dapat menanam dan meningkatkan semangat kerjasama dan meluaskan minda murid.

:“Selain itu, diharap ia dapat memupuk semangat persahabatan dan menanamkan keyakinan dalam diri setiap murid,” katanya.

Sunday, November 9, 2008

480 Hadiri Bengkel Pengurusan Jenazah

Pendedahan bengkel pengurusan jenazah di harap dapat menambah ilmu dan menjadi tanggungjawab bahkan merupakan fardu kifayah kepada umat Islam dalam menjaga hubungan silaturrahim.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)Ghazalee Mohammad berkata, Islam yang menganjurkan supaya pengurusan jenazah hendaklah dilakukuan dengan tuntutan syarak.

"Saya berharap pegawai syarak di negeri ini dapat berfungsi dengan berkesan selaras dengan kehendak syariat Islam dengan menjadikan masjid sebagai pusat Perkembangan Ilmu," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis bengkel Pengurusan Jenazah kepada Bilal dan Pengurusan Jenazah Wanita di Auditorium Masjid Al-Azim.

Seramai 480 bilal dan pengurusan Jenazah wanita dari masjid Qariah dari seluruh Melaka telah menyertai program tersebut.

Turut hadir, wakil Pengarah Kesiahatan Negeri Melaka, Dr. Rozita Ghazale dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Azli Abdul Rahman.

Sementara itu, Ghazalee berkata sejak mencapai kemerdekaan, agama Islam telah diberikan tempat yang sangat istimewa dengan perlembagaan Persekutuaan terus menjadikannya sebagai agama rasmi negara.

"Dalam sejarah perkembangan Islam, masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadah solat semata-mata, tetapi menjadikan pusat aktiviti masyarakat Islam,"katanya.

Menurut Ghazalee, masjid adalah tempat yang sesuai untuk meningkatkan intelektual masyarakat setempat.