Wednesday, July 30, 2008

50 bekas petani tembakau mohon segera wang sagu hati

Kira-kira 50 bekas penanam pokok tembakau dari Kampung Sempang meluahkan kekesalan mereka apabila wang sagu
hati sara hidup seperti yang dijanjikan oleh Lembaga Tembakau Negara (LTN) Negeri Melaka sehingga kini masih tidak diperoleh.

Menurut salah seorang bekas penanam pokok tembakau, Baharudin Amby, sebelum pilihan raya diadakan, pihak LTN telah bersetuju untuk memberi sagu hati sara hidup kepada 50 bekas penanam yang bernilai RM 300 setiap seorang.

“Semasa mereka mahu memberikan sagu hati tersebut kami bekas penanam pokok tembakau telah pun mengisi borang sepertimana yang dikehendaki oleh pihak LTN dan borang-borang berkenaan telah pun dihantar sebelum akhir bulan Mac lalu.

“Tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil dan pihak kami juga tidak mendapat sebarang maklumat lanjut mengenai pemberian pampasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala menurut Ketua Penanam Tembakau kampung ini, Azmi Amat, pihaknya sering menghubungi LTN tetapi jawapan yang diterima amat mengecewakan.

“Kebanyakan bekas penanam sering bertanyakan kepada saya mengenai wang sagu hati tersebut dan saya selaku ketua kadang-kadang tidak dapat menjawab pertanyaan mereka.

“Ini disebabkan saya sendiri tidak mengetahui tarikh dan masa yang sebenar pihak LTN Negeri akan memberikan wang sagu hati seperti yang telah dijanjikan,” katanya. Tambahnya, adalah menjadi harapan kepada bekas-bekas penanam pokok tembakau agar pihak LTN atau yang terlibat dapat menyegerakan pembayaran wang sagu hati seperti yang telah dijanjikan.

Projek penanaman pokok tembakau di Kampung Sempang telah bermula pada tahun 1990 dan pada tahun yang sama juga projek yang diusahakan oleh 50 penanam ini telah dihentikan.

Ini kerana penanam menghadapi masalah daripada segi harga tembakau yang pada ketika itu tidak menguntungkan sedangkan dakwa mereka kos untuk bahan menanam pokok tersebut terus meningkat dan dianggarkan
terdapat lebih 6,000 hingga ke 7,000 bekas penanam pokok tembakau di negeri ini turut menghadapi masalah yang sama.

Sunday, July 27, 2008

11 sekolah terima peruntukan

Kira-kira 11 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam menerima peruntukan daripada kerajaan Negeri bagi membantu pihak pentadbiran sekolah mengendalikan kelas bimbingan dan tambahan untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad, bantuan daripada Yayasan Melaka ini mula diperkenalkan sejak tahun 2000 lagi dan ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bagi mempertingkatkan pencapaian akademik para pelajar.

Kerajaan sebelum ini telah menetapkan peruntukkan sebanyak RM2,000 bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah pula menerima RM4,800 bagi menampung segala perbelanjaan yang melibatkan pelajar menjelang musim peperiksaan.

Oleh yang demikian sebanyak dua buah sekolah menengah dan sembilan buah sekolah rendah yang berada di dalam kawasan Dun Serkam telah menerima bantuan.

“Dengan peruntukan yang disediakan ini diharap ia dapat memberi semangat kepada para pelajar yang akan mengambil peperiksaan besar selain pihak pentadbir sekolah dapat menganjurkan bengkel-bengkel atau seminar-seminar untuk mereka.

“Apa yang diharapkan agar bantuan seperti ini dapat mewujudkan peluang serta semangat jati diri yang kuat di dalam diri pelajar terbabit supaya dapat belajar dengan lebih tekun,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berbentuk cek kepada guru-guru besar dan pengetua sekolah di Sekolah Menengah Sri Mahkota.

Tambahnya, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menghantar anak-anak :mereka: ke kelas bimbingan.

Ghazale menyeru kepada golongan pelajar khususnya yang berada di dalam kawasan Dun Serkam supaya dapat memberikan yang terbaik semasa menghadapi peperiksaan kelak di samping dapat menggunakan sumbangan yang diberikan sebaik mungkin demi menjadikan Negeri Melaka sebagai salah sebuah negeri yang berjaya mencatatkan rating tertinggi di dalam keputusan peperiksaan pada tahun ini.

Turut hadir pada majlis penyerahan cek sumbangan tersebut adalah Ketua Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pelajaran Daerah Jasin, Tuah Talip, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jasin, Jumat Mat Lani, Setiausaha Japerun Dun Serkam serta Ramlan Mohd Ali.

Thursday, July 24, 2008

Lengkapkan Diri Dengan Ilmu Pengetahuan

Penjawat awam di negeri ini disaran melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan terutama membabitkan isu yang berkaitan politik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhamad berkata, penambahan ilmu berkaitan isu semasa dan pendedahan mengenai peranan penjawat awam itu penting dalam usaha memperoleh status penjawat awam bertaraf dunia.

"Pendedahan ilmu itu penting supaya penjawat awam diiktiraf dunia sekaligus dapat bersiap sedia dengan visi dan misi kerajaan negeri menjelang Melaka Maju 2010," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Peranan Penjawat Awam Ke Arah Bertaraf Dunia Bagi Pegawai dan Kakitangan Awam Negeri Melaka Siri 7/2008 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Ghazale, kursus itu bertujuan memberi pemahaman tentang budaya kerja dan cabaran-cabaran yang perlu ditangani, selain melahirkan pegawai dan kakitangan yang lebih produktif melalui peningkatan disiplin, daya saing, kecekapan dan amanah.

"Melalui kursus ini, diharap penjawat awam faham akan cita-cita kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam kerana mereka sering berjumpa dengan orang awam," ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam (MAIM) berkata, kursus yang disertai 26 pegawai dan kakitangan awam negeri Melaka itu telah berlangsung selama empat hari yang berakhir hari ini.

Kursus anjuran Institut Pengurusan Melaka (IMM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengenengahkan 12 modul termasuk tiga latihan kelompok dinamik.

Modul-modul tersebut, antaranya berkaitan protokol dan etiket sosial negeri, membentuk nilai murni penjawat awam ke arah bertaraf dunia, sistem penyampaian (delivery system) yang cekap dan berkesan, 'Key Performence Indicators' (KPI) dan isu-isu politik tanahair.

Wednesday, July 16, 2008

Ibu Tunggal Terima Tujuh Ekor Lembu Baka

Seorang ibu tunggal, Kamariah Othman,35, melahirkan rasa gembiranya apabila menerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan(PPP) berupa tujuh ekor lembu.Peruntukkan berkenaan adalah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin yang menyediakan sejumlah RM10,000 termasuk lembu, makanan dan pelbagai aktiviti lain untuk setiap peserta.

Penyerahan lembu-lembu itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Ghazale Muhammad; bersama Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Zakaria Abu Bakar dan Penolong Pegawai Daerah Jasin Bahagian Pembangunan Sakri.Ghazale berkata,program PPP itu merupakan yang pertama di kawasan Serkam membabitkan seramai 12 peserta di sekitar Jasin yang telah menyertai program PPP itu dan ianya di bawah seliaan Penghulu DUN masing-masing.

"Antara peserta yang telah menyertai Program PPP terdiri daripada DUN Asahan, Merlimau dan Rim."Tujuan program berkenaan adalah untuk membantu golongan miskin yang terdapat di kawasan ini, selain bagi melepasi garis paras kemiskinan penduduk,"Katanya kepada Melaka Hari ini (MHI), dekat sini.

Sementara itu, Kamariah mengucapkan syukur ke atas bantuan yang di berikan dan berharap agar bantuan berkenaan membantunya mengubah kehidupannya."Saya berazam agar lembu-lembu ini dapat dibiakkan dengan lebih banyak, di samping hasil yang di perolehi akan dapat di gunakan sebaik mungkin demi untuk mengubah kehidupan saya dan keluarga,"jelasnya.

Sunday, July 13, 2008

Tunggu Jawapan Dari JPA-Jawatan Tetap Untuk Guru SAR

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan jawatan tetap kepada semua guru-guru Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Sekolah Rendah Agama (SRA), seluruh negeri ini.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri telah pun membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai perkara tersebut, namun sehingga kini masih belum lagi menerima sebarang keputusan mengenainya.

"Kerajaan Negeri akan terus merayu kepada JPA supaya dapat memberikan jawatan tetap kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama guru-guru SRA JAIM di Auditorium Masjid Al-Azim di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md. Amin; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Ghazalee Mohamad; Pengarah JAIM, Datuk Alias Md. Saad; Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Abdul Wahit Kidam.

Semua 156 guru-guru besar SRA JAIM dari seluruh negeri Melaka menghadiri majlis perjumpaan tersebut.

Mohd Ali seterusnya menjelaskan bahawa UMNO Melaka akan membawa satu usul untuk dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang mengenai kedudukan guru-guru agama JAIM agar dapat diberikan jawatan tetap oleh JPA.

Setakat ini jelas Ketua Menteri, terdapat seramai 1,311 orang guru-guru SRA JAIM di seluruh negeri.

Katanya, ia melibatkan 918 orang Pembantu Rendah Hal Ehwal Islam Gred S11 dan 393 orang lagi menerima elaun tetap Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM250 selain elaun tetap daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM500.

Perjumpaan yang diadakan itu bertujuan memberi ruang percambahan fikiran selain mendapatkan maklumbalas mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan Islam di Melaka.

Selain itu ianya juga bertujuan menghuraikan maklumat terkini berkaitan isu-isu semasa selain dapat menjalinkan silaturahim dan rasa kekeluargaan antara guru-guru dengan Ketua Menteri dan bahagian pendidikan JAIM.

Friday, July 11, 2008

29 Mangsa Banjir Terima Bantuan

Seramai 29 mangsa banjir di beberapa kawasan sekitar Serkam bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan berupa wang tunai dari Kerajaan Negeri yang diterima oleh mereka hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad.

Sumbangan diberikan oleh kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jasin (PDJ) disalurkan melalui Japerun Serkam.

Kesemua penerima sumbangan adalah dari kawasan Umbai, Tedong dan Taman Datuk Abdul Aziz yang dilanda banjir kilat 25 Mei lalu.

Ghazale berkata , pihaknya berasa simpati dengan mangsa dan berharap sumbangan yang diterima dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

Selain itu, beliau turut menyeru penduduk di kampung-kampung khususnya supaya dapat menjaga sistem perparitan mereka agar tidak tersumbat.

“Saya menyeru kepada masyarakat desa supaya dapat bekerjasama membersihkan sistem perparitan yang berada di hadapan rumah mereka supaya tidak tersumbat bagi mengelak berlakunya banjir kilat.

“Kebiasaannya banjir kilat berlaku adalah disebabkan keadaan parit atau longkang berdekatan kediaman mangsa yang tidak terurus dan tersumbat.

“Jadi apabila sistem perparitan tidak sempurna bagaimana air hujan hendak mengalir dengan baik dan seterusnya air hujan akan melimpah dan membanjiri rumah mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab setiap penduduk agar dapat menjaga kebersihan persekitaran kediaman selain memastikan sistem peparitan sempurna.

“Jika boleh amalkan kebersihan dan bergotong-royong bersama-sama membersihkan longkang-longkang yang terdapat di hadapan rumah kita. Jika keadaan longkang-longkang di hadapan rumah kita tidak bersih dan tidak sempurna jangan mengharapkan bantuan orang lain datang untuk membersihkannya tetapi adalah lebih baik kita sendiri yang membersihkannya.

“Jangan biarkan sampah sarap serta bahan-bahan lain dibuang ke dalam longkang dan dibiarkan begitu sahaja hingga berbau busuk,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Ghazale pernah menyampaikan sumbangan kepada 19 mangsa banjir dan sumbangan pada kali ini merupakan sumbangan kali kedua yang disampaikan kepada mangsa banjir kilat semenjak beliau menjadi ADUN Serkam.

Turut hadir pada majlis penyerahan sumbangan tersebut adalah Setiusaha Japerun Serkam, Ramlan Mohd Ali dan Penghulu DUN Serkam, Zakaria Abu Bakar.

Thursday, July 10, 2008

Kampung Pulai Perintis Konvensyen Mari Belajar


Penduduk Kampung Pulai berasa bertuah kerana kampung tersebut di pilih menjadi perintis Konvensyen 'Mari Belajar Peringkat Kampung' bagi peringkat negeri melaka,juga yang pertama di negara ini. Konvensyen selama dua hari itu telah di rasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Seri Muhammad Muhd Taib, bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota.

Muhamad berkata, Konvensyen itu bertujuan memberi penekanan semula kepada masyarakat terutamanya ibu bapa supaya memberi perhatian kepada pelajaran anak- anak. "Belajar merupakan tangungjawab semua dan melaui gerakan (Konvensyen)seperti ini, maka nilai- nilai yang baik dapat dipertingkatkan semula,"katanya.

Program anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini akan dilaksanakan di setiap negeri, bertujuan memupuk kesedaran, meluaskan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran ibu bapa luar bandar untuk menjadi fasilitator pembelajaran anak-anak di rumah. Ia juga turut mensasarkan matlamat ke arah mewujudkan insitusi keluarga yang utuh sebagai platfom pencegahan gejala sosial dan perunding kepada kerjaya anak- anak setelah tamat pendidikan formal di peringkat sekolah menengah.

RISDA telah dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi JawatanKuasa Kembar Negeri bagi negeri Melaka, selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.Kampung Pulai telah dipilih sebagai tuan rumah berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh kementerian iaitu sebagai kampung cemerlang.

Kementerian memilih kampung ini kerana mempunyai kecemerlangan kepimpinan,selain menepati penyertaan minima 150 oarang pasangan yang mempunyai anak yang belajar di peringkat rendah danmenengah. Pelbagai aktiviti diatur sempena Konvensyen ini termasuk ceramah motivasi bertajuk 'Memupuk Minat/ Kesedaran Anak Suka Belajar' oleh Timbalan Naib Canselor UIEM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Md Diah; Forum Bicara Ulama bertajuk Konsep/ Falsafah Ilmu Dalam Pendidikan Anak- anak;Ceramah Perdana di samping Forum Bestari.

Wednesday, July 9, 2008

Lihat Sendiri Penderitaan Rakyat- Isteri ADUN Serkam Ziarah Warga Emas

Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam,Ghazalee Muhammad mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk- penduduk yang kurang bernasib baik hari ini.

Rubiah Edris turut berkesempatan menziarahi warga emas dan penduduk yang menghadapi penyakit kronik. Rubiah ketika di temui berkata, sumbangan kerusi roda kepada beberapa penduduk yang mempunyai masalah antara fokus utama yang di berikan.

Menurutnya, penduduk yang menerima kerusi roda adalah Mohd zain Baba yang menghidap penyakit jantung dan beliau tidak dapat berjalan dengan baik. "Inilah bantuan yang diberikan kepada golongan yang memerlukan," Katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemuai hari ini.

Selain itu, Rubiah juga melawat seorang warga emas yang sudah menjangkau usia 94 tahun yang masih sihat tetapi hanya mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan sahaja. "Lawatan kerja ini adalah untuk mendekatkan pihak Japerun Serkam dengan penduduk sekitar di samping berkesempatan melihat sendiri penderitaan yang dialami oleh penduduk setempat.

"Kita berpeluang mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung dan secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan di antara pihak kami dengan penduduk. "Ia adalah penting bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan ini,"katanya lagi.

Hadir sama pada lawatan tersebut adalah Ketua Pegerakkan Wanita UMNO Cawangan Serkam,Zauyah Ahmad. Sementara itu, penerima berkenaan, Mohd Zain berkata, beliau mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang dihulurkan dan berharap dengan sumbangan kerusi roda daripada Japerun Serkam akan memudahkan beliau bergerak.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang menghidap penyakit Parkinson,Zainal Salleh berkata, dia tidak menyangka bahawa penderitaannya mendapat perhatian ADUN. "Saya sama sekali tidak menyangka pihak Japerun Serkam sudi menghulurkan sumbangan kerusi roda bagi memudahkan saya bergerak memerlukan aktiviti lain,"jelaskan.

Selain kerusi roda, Japerun Serkam turut memberikan bantuan berupa makanan asas seperti beras, milo dan susu.

Tuesday, July 8, 2008

Sumber Pendapatan Baru-Warga Desa Ceburi Penghasilan Kraf Rotan.

Seramai 20 peserta dari seluruh negara dipilih menyertai kursus Seni Kraf Kreatif Rotan yang diadakan selama enam hari di Kampung Serkam, dekat sini, bermula hari ini.

Antara negeri menghantar wakil untuk menyertainya adalah negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Johor dan Kedah.

Kursus seni kraf kreatif rotan itu, anjuran Bahagian Pendidikan Masyarakat KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut berjaya menarik minat warga desa terutama golongan wanita daripada seluruh negara menyertainya.

Penyelia Kanan Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) KEMAS, Zainoriah Mohd Ali berkata, tujuan kursus seni kraf kreatif rotan itu adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi Pemaju Masyarakat PKK mengenai teknik-teknik atau corak-corak anyaman rotan supaya produk-produk yang dihasilkan lebih kreatif, kemas dan menarik.

“Ia juga adalah untuk memberikan latihan dan mempertingkatkan teknik-teknik pembuatan supaya peserta dapat menguasai cara-cara untuk menghasilkan kekemasan produk yang dihasilkan.

“Secara tidak langsung ia dapat mempertingkatkan mutu dan harga sesuatu produk tersebut,” katanya Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui hari ini.

Di samping itu, kursus itu memberikan pengetahuan bagaimana cara-cara penggunaan peralatan kraf yang dibekalkan serta penyelenggaraan kraf secara betul dan selamat.

Sebelum ini, KEMAS pernah menganjurkan kursus seperti ini iaitu pada tahun 2005 dan 2006 dan pada masa itu ianya dilaksanakan untuk peserta-peserta aktiviti PKK sahaja dengan menggunakan tenaga pengajar Pemaju Masyarakat yang berkebolehan.

Walau bagaimanapun, seni kraf kreatif rotan telah mendapat sokongan dan sambutan daripada masyarakat tempatan berdasarkan daripada laporan yang diterima oleh Ibu Pejabat KEMAS daripada peringkat negeri-negeri.

“Oleh yang demikian pada tahun ini kami sekali lagi menganjurkan program sebegini kepada wakil-wakil Pemaju Masyarakat (PM) yang terpilih.

“Setiap PM yang dipilih untuk menyertai kursus ini merupakan wakil kepada setiap negeri masing-masing dan mereka bakal menjadi tenaga pengajar kepada semua ahli PKK yang berminat untuk mempelajari seni kraf kreatif rotan ini,” katanya lagi.

Tambah Zainoriah, peserta-peserta yang mengikuti aktiviti anjuran PKK sebenarnya boleh menjadikan kraf anyaman rotan sebagai mata pencarian sampingan bagi menambahkan sumber pendapatan keluarga sekiranya mereka berjaya menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti tinggi.

“Pada kursus ini, seorang tenaga pengajar yang berpengalaman akan menilai produk yang dihasilkan setiap peserta dan memberikan serba sedikit teguran bagi memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada pada produk mereka.

“ Unit PKK turut mencadangankan supaya teknik-teknik serta corak-corak anyaman rotan ini diberi perhatian oleh PKK lain supaya segala ilmu yang dipelajari oleh peserta di sini, boleh dimajukan pula kepada pelajar-pelajar lain selepas mereka pulang ke negeri masing-masing,” tambahnya.

Sunday, July 6, 2008

Tedong juara Sukan Melaka DUN Serkam

Pasukan bola jaring Tedong telah diumumkan sebagai juara Sukan Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dan berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berserta piala pusingan.

Menurut Penyelaras Sukan Melaka DUN Serkam, Rosli Jantan, pertandingan bola jaring Sukan Melaka ini telah berjaya menarik sepuluh pasukan untuk menyertainya.

“Sambutan yang diterima pada hari ini oleh peserta wanita yang berada di sekitar Serkam ini amat memberangsangkan.

“Selain itu, ia turut mendapat penyertaan daripada pelbagai peringkat umur yang terdiri daripada belasan tahun sehingga kepada ibu-ibu.

“Pihak suami dan ibu bapa juga turut hadir memberikan sokongan kepada peserta yang bertanding pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, pertandingan pada kali dianggap berjaya kerana dapat mendekatkan lagi hubungan antara penduduk dan juga pihak penganjur.

“Acara tahunan ini dilihat semakin mendapat perhatian daripada golongan wanita terutamanya kaum ibu yang sebelum ini tidak pernah menyertai sebarang aktiviti sukan.

“Mungkin disebabkan peluang ini boleh digunakan untuk mengisi masa lapang selain turut berfungsi sebagai salah satu aktiviti riadah yang boleh menyihatkan badan dan otak,” katanya.

Penyertaan daripada wanita di kalangan ibu-ibu pada kali ini dilihat semakin bertambah berbanding penyertaan mereka pada tahun sebelumnya.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Ghazale Muhamad dan isteri, Rubiah Edris.

Naib Johan pertandingan adalah pasukan daripada Tedong Pekan manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Berangan Enam.

Pemenang menerima wang tunai sumbangan Japerun Serkam dan piala pusingan serta hadiah lain.

Melahirkan Rakyat Berminda Kelas Pertama Untuk Memperkasakan Pendidikan

Sebanyak RM13.5 bilion telah diperuntukan bagi menaiktaraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai para guru berpengalaman untuk berkhidmat di luar bandar, Kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, peruntukan tersebut adalah bertujuan memperkukuhkan lagi program pendidikan dan latihan di negara ini sebagaimana yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) pada 26 Jun yang lalu.

"Bagi kerajaan negeri, langkah berkenaan adalah satu usaha bagi memperkasakan sistem pembelajaran anak-anak di peringkat menengah dan rendah yang seharusnya disokong oleh semua pihak," jelasnya.

Mohd Ali berkata demikian semasa berucap di majlis Penutupan Konvensyen Mari Belajar peringkat Kampung(2 Jam 3 Jam) negeri Melaka 2008, di Balai Raya Kampung Pulai, di sini petang tadi.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad.

Turut hadir di program tersebut Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah; Pengarah Risda Negeri Melaka, Sukiman Sulong; Pegawai Daerah Jasin, Mohd Zin Mansor dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pulai merangkap Pengerusi Bersama program, Seman Deros.

Ujarnya, Kerajaan Negeri berpendapat dengan penambahan peruntukan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan di dalam bidang pendidikan.

"Kita bersyukur, dalam suasana ekonomi yang mencabar, bidang pendidikan terus menjadi keutamaan Kerajaan dan lebih menarik lagi ia bersandarkan kepada teras yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Lima Tahun Kementerian Pelajaran Malaysia," katanya.

"Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia menerima peruntukkan tertinggi di dalam RMK-9, namun Kerajaan tetap menambah peruntukan di dalam kajian separuh penggal, ini menunjukkan dalam apa jua suasana ekonomi dan politik yang melanda negara, kita konsisten untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat," ujar Mohd Ali.

Sehubungan dengan itu terangnya, Kerajaan Negeri menyeru kepada masyarakat di semua peringkat supaya merebut peluang yang ada ini untuk memastikan tahap pendidikan anak-anak, diri dan ahli keluarga sentiasa meningkat, sekali gus mencapai hasrat dalam melahirkan masyarakat minda kelas pertama di negara ini.

Katanya, pembangunan sesebuah masyarakat adalah menjadi hasrat dan tanggungjawab pihak pemerintah yang selama ini sedaya upaya untuk membangunkan masyarakat sama ada di desa mahupun di luar bandar.

"Kesungguhan ini telah terbukti dengan wujudnya beberapa dasar yang terbaru seperti Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang kini dikenali sebagai Gerakan Daya Wawasan, Satu Kampung Satu Produk dan sebagainya," jelasnya.

Oleh itu tambahnya, pendedahan sesuatu input kepada masyarakat amat penting sekali. contohnya, anak-anak perlu diberikan pendedahan kaedah pembelajaran yang betul dan peluang-peluang pendidikan tertinggi supaya mereka tertanam azam dan cita-cita untuk menuntut ilmu.

"Tanpa pendedahan itu, hasrat dan cita-cita mereka menjadi kabur dan natijahnya, masyarakat yang ada tidak berpendidikan seterusnya akan memundurkan negara," tegasnya.

Tuesday, July 1, 2008

Program Jiwa Murni Dekati Orang Asli

Jabatan agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama MAIM, JHEOA, PERKIM dan BAKPIS meneruskan agenda mereka ziarah masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Solok Terentang Kampung Jus, Jasin baru-baru ini. Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi MAIM yang juga ADUN Kawasan Serkam, Haji Ghazali Muhamad; Ketua penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAIM, Datuk Ahmad Musstafa Karim dan barisan kepimpinan JKKK Kampung Jus.

Menurut Ghazale, Program tersebut diadakan bertujuan untuk menjalin hubungan silaturrahim anntara kepimpinan kerajaan dengan rakyat khususnya masyarakat Orang Asli di negeri ini.Selain itu juga ia dapat memberikan pendedahan mengenai Agama Islam kepada masyarakat Orang Asli dan mengajak mereka mengenai ajaran Islam sebenar. Aktiviti seperti ini juga membolehkan pihak kerajaan dapat memahami setiap permasalahan dan keperluan masyarakat Orang Asli dari pringkat akar umbi.

Beliau juga melahirkan rasa puas hati di atas kebenaran kampung tersebut.Beliau juga menekankan kepentingan aspek pendidikan ke atas anak -anak Orang asli di kampung tersebut dan menyeruh ibu bapa tidak sekali mengabaikannya.Beliau berkata demikaian ketika merasmikan majlis penutut program 'Jiwa Murni Masyarakat Orang Asli' di Solok Terentang Kampung Jus, Jasin

Antara aktiviti yang di jalankan sepanjang program tersebut adalah gotong-royong bersama Majlis Pembandaran Jasin (MPJ), Ziarah rumah ke rumah, pemeriksaan kesihatan oleh Badan sukarelawan At-Taqwa MAIM, Klinik Kesihatan Selandar,sukaneka dan sumbangan hamper daripada Ghazalee kepada setiap keluarga orng asli.

Pengerusi JKKK Jus, Sabaruddin Sulaiman memaklumkan bahawa hasrat dan harapan beliau adalah agar masyarakat kampung Orang Asli di situ akan turut serta dalam setiap aktiviti yang di anjurkan oleh masyarakat dari luar. "Bagi mereka yang sudah layak akan di daftarkan menjadi ahli UMNO agar terus menyokong usaha kerajaan yang memerintah yang sentiasa perihatin terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri Melaka," ujarnya